Thursday, November 6, 2014

Artikel Review: Balkanisasi Siber

Saya terbaca satu artikel yang bertajuk ‘Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1 Malaysia’ yang ditulis oleh Dr Rahmat Ghazali dan saya bersetuju dengan keseluruhan isi artikel tersebut.  Balkanisasi asalnya digunakan untuk menggambarkan pembahagian rantau ataupun tubuh kepada kumpulan yang kecil.  Pada pemahaman saya, balkanisasi siber ini merupakan pengguna internet yang berfikiran sama menyisihkan diri mereka dari yang lain dan membentuk satu kumpulan atau koloni yang terdiri daripada mereka sahaja.


Artikel ini membuatkan saya bersetuju apabila beliau menyatakan bahawa kebebasan yang diberikan internet membawa kepada satu gangguan bagi 1 Malaysia.  Kebebasan itu sendiri jika difahami adalah satu topik yang halus tetapi artikel tersebut menyatakan kebebasan itu mampu memusnahkan apa yang telah kita bina dan apa yang ingin kita capai.

Sesetengah orang mungkin tidak akan bersetuju di mana mereka merasakan bahawa kebebasan dalam menyebarkan dan mendapatkan informasi adalah sesuatu yang negatif. Beliau juga turut menyatakan bagaimana sesetengah orang mempunyai keberanian dalam menyatakan apa sahaja yang mereka inginkan di alam siber di mana mereka merasakan mereka itu kebal dari sebarang tindakan.

Walaupun aktiviti menyebarkan maklumat di internet adalah sesuatu yang bermanfaat, ini boleh menyebabkan sesetengah orang mewujudkan kumpulan atau fahaman yang mungkin mengganggu gugat keselamatan negara.  Mereka mungkin menubuhkan kumpulan yang berkongsi ideologi serta fahaman mereka sendiri dan mungkin akan bertindak ganas terhadap mereka yang menentang sebagaimana yang boleh kita lihat terhadap kumpulan Mat Rempit dan juga kumpulan keagamaan Ayah Pin.

Artikel balkanisasi siber tulisan Dr Rahmat juga turut tertulis tentang banyaknya berita berkaitan politik di surat khabar serta web berita menyebabkan tertubuhnya ‘koloni’.  Saya bersetuju dengan apa yang ditulis oleh beliau di mana surat khabar pada masa kini tidak memaparkan berita yang sebenar tetapi lebih kepada mempromosikan kejahatan atau onar yang dilakukan oleh pihak pembangkang dan sebaliknya.

Semuanya terpulang kepada pembaca untuk menentukan samada ianya benar ataupun palsu.  Tetapi harus diingat, penipuan yang seringkali dipaparkan mampu membuatkan orang percaya tentangnya.

Apa yang menariknya, beliau turut menyatakan bahawa media tidak seharusnya dikekang sebagaimana kebebasan seharusnya seiring dengan tanggungjawab dan juga etika.  Sejujurnya, jika wujudnya kebebasan ‘mutlak’ itu, pasti akan timbulnya keganasan, pembunuhan dan jenayah-jenayah yang lain memandangkan semua dibenarkan melakukan apa sahaja yang mereka inginkan tanpa sekatan.  Oleh sebab itulah wujudnya undang-undang dan peraturan di Malaysia.

Namun, amat menyedihkan ada juga yang tidak tahu tentang tanggungjawab dan mereka menggunakan kebebasan itu sewenang-wenangnya yang menjurus kepada kata-kata kesat dan kasar yang berbaur perkauman di jaja merata di media sosial dan internet yang mampu membawa kepada pergaduhan kaum seperti insiden 13 May.

Seharusnya setiap orang itu sedar akan tnaggungjawab mereka dan berfikir secara rasional dalam mendapatkan dan menyebarkan maklumat.  Sejujurnya, balkanisasi siber itu merupakan ancaman kepada wujudnya semangat gagasan 1 Malaysia dan juga boleh membahayakan keselamatan negara.



No comments:

Post a Comment