Friday, November 28, 2014

Wajarkah Dianjurkan Program 'I Want To Touch A Dog' ?

‘I Want To Touch A Dog’ adalah suatu program yang dianjurkan untuk orang ramai di Bandar Utama, Damansara pada 19 Oktober 2014.  Penganjuran program seumpama ini yang pertama kali dijalankan di Malaysia menimbulkan rasa kurang senang dikalangan masayarakat Islam dimana gambar-gambar masayarakat yang beragama Islam sedang memeluk anjing tersebar di internet dan juga kemudiannya menjadi tajuk utama akhbar tempatan.  Program ini dianjurkan bertujuan untuk mengatasi rasa takut masyarakat terhadap anjing serta memahami mereka dengan lebih baik lagi.

Ia kedengaran seolah-olah bagus dalam meningkatkan kesedaran dan cara bagaimana mahu mengawal atau mengendalikan anjing serta mengurangkan rasa takut terhadap anjing dikalangan masyarakat.  Namun begitu, konsep ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ seharusnya dipraktikkan dalam situasi ini. Sejujurnya, saya tidak bersetuju dengan penganjur yang seolah-olah tidak peka dengan garis panduan yang telah dinyatakan di dalam Islam berkenaan dengan menyentuh anjing.
Program ‘I Want To Touch A Dog’ ini boleh mendatangkan kekeliruan terhadap persepsi masyarakat bukan Islam terhadap isu ini dan juga terhadap mereka yang kurang ilmu tentang hukum Islam.  Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya tahu membezakan mana yang haram dan yang mana halal dan sekiranya kita tidak pasti tentang sesuatu hukum, rujuklah kepada Al-Quran dan juga Hadis untuk mendapatkan penjelasan yang lebih jelas.

Sebagai pencinta haiwan, saya bukan sahaja suka kepada kucing tetapi turut suka melihat anjing yang comel hasil ciptaan Allah S.W.T.  Namun begitu, saya hanya melihat dari jauh dan tidak akan sewenang-wenangnya menyentuh mereka tanpa tujuan dan saya telahpun diajar bahawa sesungguhnya memegang anjing itu adalah haram disisi Islam.  Walaubagaimanapun, saya tidak akan teragak-agak untuk membantu mereka sekiranya diperlukan dalam masa-masa darurat kerana di dalam Islam mengajar untuk berbaik sesama makhluk.  Namun tidak semua orang akan bersetuju dengan pendirian saya ini.

Malahan, saya kurang bersetuju dengan cara yang dilakukan oleh pihak penganjur bagi mengurangkan rasa takut kepada anjing dengan menganjurkan acara seperti ini.  Sejujurnya, pihak penganjur mungkin terlalu teruja untuk mengadakan program seumpama ini tetapi mereka tidak melihat dengan telus dari sudut pandangan Islam tentang hukum memegang anjing tanpa tujuan yang munasabah.  Mereka mungkin megatakan bahawa mereka turut mengajar cara-cara untuk bersuci selepas memegang najis berat kepada para pengunjung, namun matlamat tidak akan pernah menghalalkan cara yang terang-terangan salah disisi Islam.  Harus diingat bahawa umat Islam tidak digalakkan memgang anjing tanpa tujuan yang munasabah.

Islam sendiri telah menyatakan bahawa hokum memegang anjing itu adalah haram kerana anjing merupakan salah satu daripada najis mughalazah ataupun najis berat.  Ia dikira sebagai tidak bersih dan sesiapa sahaja (umat Islam terutamanya) yang memegangnya haruslah menyamak diri mereka dengan tanah liat dan juga air bagi menyucikan diri.  Namun, dibenarkan memegang anjing sekiranya keadaan memerlukan kita untuk memegangnya tetapi bukanlah secara sengaja.
Tujuan bersamak adalah apabila kita tanpa sengaja tersentuh atau terpegang najis mughalazah dalam isu ini adalah anjing dan ianya bukanlah pemberi kebenaran untuk kita sengaja menyentuh anjing tanpa sebab.  Di dalam Islam sendiri menyatakan bahawa boleh memegang anjing sekiranya kulit kita serta bulu anjing itu dalam keadaan kering, namun begitu adakah kita pasti kulit kita sentiasa dalam keadaan kering?



Thursday, November 13, 2014

GRO Mati Ditembak

Berita ini hanyalah simulasi bagi assignment jurusan Kewartawanan atas talian.  Segala gambar, cerita dan video didalam berita ini adalah lakonan semata-mata.


Oleh Azyan Raihana Ramle


Shah Alam :  Seorang wanita ditemui mati dengan dua kesan tembakan dikepala di sebuah tapak pembinaan di Seksyen 15, Shah Alam, pagi tadi.

Ketua Polis IPP Shah Alam Deputi Superitenden Syed Aziz Syed Omar Jamalullail Al-Barakabakh, ketika ditemui mengesahkan penemuan mayat wanita itu oleh seorang pekerja warga asing di dalam sebuah kereta jenis Mercedes Benz hitam pada jam 7 pagi.

Beliau berkata pihaknya mengenalpasti mangsa sebagai Nadia Ahmed, 18, dengan kad pengenalannya beralamat di Ampatenang, Dengkil dan bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) di Puchong.


Mangsa telahpun meninggal semasa dijumpai



Mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Hasil siasatan mendapati terdapat  kesan lebam ditangan mangsa hasil daripada pergelutannya dengan penembak dan sepucuk revolver jenis Smith and Watson turut ditemui di dalam kereta tersebut.

Mangsa berkemungkinan ditembak beberapa jam sebelum mayatnya ditemui dan pihak polis menolak kemungkinan mangsa disamun kerana barang-barang milik mangsa didapati tidak hilang dan motif pembunuhan masih disiasat.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.

Thursday, November 6, 2014

Artikel Review: Balkanisasi Siber

Saya terbaca satu artikel yang bertajuk ‘Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1 Malaysia’ yang ditulis oleh Dr Rahmat Ghazali dan saya bersetuju dengan keseluruhan isi artikel tersebut.  Balkanisasi asalnya digunakan untuk menggambarkan pembahagian rantau ataupun tubuh kepada kumpulan yang kecil.  Pada pemahaman saya, balkanisasi siber ini merupakan pengguna internet yang berfikiran sama menyisihkan diri mereka dari yang lain dan membentuk satu kumpulan atau koloni yang terdiri daripada mereka sahaja.


Artikel ini membuatkan saya bersetuju apabila beliau menyatakan bahawa kebebasan yang diberikan internet membawa kepada satu gangguan bagi 1 Malaysia.  Kebebasan itu sendiri jika difahami adalah satu topik yang halus tetapi artikel tersebut menyatakan kebebasan itu mampu memusnahkan apa yang telah kita bina dan apa yang ingin kita capai.

Sesetengah orang mungkin tidak akan bersetuju di mana mereka merasakan bahawa kebebasan dalam menyebarkan dan mendapatkan informasi adalah sesuatu yang negatif. Beliau juga turut menyatakan bagaimana sesetengah orang mempunyai keberanian dalam menyatakan apa sahaja yang mereka inginkan di alam siber di mana mereka merasakan mereka itu kebal dari sebarang tindakan.

Walaupun aktiviti menyebarkan maklumat di internet adalah sesuatu yang bermanfaat, ini boleh menyebabkan sesetengah orang mewujudkan kumpulan atau fahaman yang mungkin mengganggu gugat keselamatan negara.  Mereka mungkin menubuhkan kumpulan yang berkongsi ideologi serta fahaman mereka sendiri dan mungkin akan bertindak ganas terhadap mereka yang menentang sebagaimana yang boleh kita lihat terhadap kumpulan Mat Rempit dan juga kumpulan keagamaan Ayah Pin.

Artikel balkanisasi siber tulisan Dr Rahmat juga turut tertulis tentang banyaknya berita berkaitan politik di surat khabar serta web berita menyebabkan tertubuhnya ‘koloni’.  Saya bersetuju dengan apa yang ditulis oleh beliau di mana surat khabar pada masa kini tidak memaparkan berita yang sebenar tetapi lebih kepada mempromosikan kejahatan atau onar yang dilakukan oleh pihak pembangkang dan sebaliknya.

Semuanya terpulang kepada pembaca untuk menentukan samada ianya benar ataupun palsu.  Tetapi harus diingat, penipuan yang seringkali dipaparkan mampu membuatkan orang percaya tentangnya.

Apa yang menariknya, beliau turut menyatakan bahawa media tidak seharusnya dikekang sebagaimana kebebasan seharusnya seiring dengan tanggungjawab dan juga etika.  Sejujurnya, jika wujudnya kebebasan ‘mutlak’ itu, pasti akan timbulnya keganasan, pembunuhan dan jenayah-jenayah yang lain memandangkan semua dibenarkan melakukan apa sahaja yang mereka inginkan tanpa sekatan.  Oleh sebab itulah wujudnya undang-undang dan peraturan di Malaysia.

Namun, amat menyedihkan ada juga yang tidak tahu tentang tanggungjawab dan mereka menggunakan kebebasan itu sewenang-wenangnya yang menjurus kepada kata-kata kesat dan kasar yang berbaur perkauman di jaja merata di media sosial dan internet yang mampu membawa kepada pergaduhan kaum seperti insiden 13 May.

Seharusnya setiap orang itu sedar akan tnaggungjawab mereka dan berfikir secara rasional dalam mendapatkan dan menyebarkan maklumat.  Sejujurnya, balkanisasi siber itu merupakan ancaman kepada wujudnya semangat gagasan 1 Malaysia dan juga boleh membahayakan keselamatan negara.